Ahad, 1 Jun 2008

Pengajian Kitab “ Dalilul Falihiin”

Pengajian Kitab “ Dalilul Falihiin”
Bersama Tuan Guruku; Syeikh Hj Muhd Zainul Asri Hj Ramli.

Hadith yang dibahaskan ialah;

مِنْ حُسْنِ الإسْلاَم المَرْءِ تَرْكهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

Terjemahan: “Di antara tanda-tanda baik (elok keindahan) Islam pada seseorang individu itu ialah ia tidak ambil endah (meninggalkan) apa yang tidak perlu (membawa manfaat) baginya”

Keterangan,

Antara tanda-tanda baiknya penghayatan Islam terhadap diri seseorang muslim itu ialah ia mampu meninggalkan perkara yang tidak memberikan manfaat bagi dirinya samada manfaat di dunia atau di akhirat. Ia termasuklah dari sudut afa’al zaidah(أفعال زائدة ) atau aqwal zaidah ( أقوال زائدة). Kita hanya perlu buat perkara yang memberikan keuntungan kepada kita sahaja. Bagaimana? Makan hanya cukup untuk mendapatkan kekuatan tubuh badan sahaja manakala selebihnya itu tidak penting. Supaya tenaga diperolehi bagi menjalankan kerja dan tanggungjawab terhadap anak dan isteri. Sekiranya berlebih-lebih itu termasuk di dalam ‘ma la yak’nihi’.

Kerana itu, Islam menganjurkan agar kita bersedeqah. Sedeqah itu memberikan apa yang lebih dari keperluan kita. Sekiranya kita berusaha keras untuk mencari harta dengan niat dan azam untuk disedeqahkan untuk orang susah, itu tidak mengapa. Atau berniaga agar kaya dan banyak harta dengan tujuan boleh membayar zakat, ia juga tidak mengapa. Bercakap pula hanya yang perlu sahaja. Bercakap yang sia-sia ialah percakapan yang tidak mendatangkan pahala, sekiranya membawa kepada yang dosa menjadi haram pula.

Musibah bagi mereka yang banyak bercakap ialah menjadikan seseorang itu tidak bersemangat. Ulama mengatakan ia membawa kepada kelemahan motivasi seseorang. Apa itu percakapan yang membawa kebaikan? Iaitulah percakapan yang mengajak kepada yang ma’aruf serta menegah perkara yang mungkar. Uwais Al qarni adalah seorang yang sangat beriltizam tinggi dalam melakukan kerja tersebut pernah berkata “aku kehilangan rakan dan kawan hanya kerana melakukan kerja amar ma’aruf dan nahyi mungkar”. Inilah khidamat kita kepada RasululLah SAW. Sekiranya tidak ada rasa langsung di hati kita bermakna kita tiada iman.

Contohilah Saiyidina Umar RadhiyalLahu ‘Anhu; Baginda ditikam ketika mengerjakan solat subuh dan dibawa pulang ke rumahnya. Dalam keadaan tenat masih sempat melakukan kerja tersebut. Ada seorang lelaki menziarahi baginda dengan memakai jubah yang labuh melepasi buku lali kakinya seraya ia menegur lelaki tersebut.

Faedah; Kelebihan larangan memakai jubah atau kain melepasi buku lali kaki ialah; 1. Di dunia, agar tidak kotor pakaian tersebut. 2. Di akhirat, lebihan dari kekurangan tersebut akan disambung semula. Kenapa ianya ditegah, kerana mengelak rasa sombong dan megah. Namun, sekiranya untuk menjadikan ia indah, maka tidak mengapa.

Tiada ulasan: