Ahad, 18 Mei 2008

Renungan Untuk Kita Di Akhir Zaman


CEBISAN MUTIARA PENGAJIAN

MAJLIS TAFAQQUH HADIS Bersama
TUAN GURU SYEIKH HJ MUHAMAD ZAINUL ASRI HJ RAMLI
(Ahli Lembaga Pusat Pengajian Darul Hadis-PAKSI, Alor Star.)

Hadis Tanda-Tanda Qiamat.
( Petikan dari Kitab Bahrul Mazi Jilid Ke 8 )
Karangan: Syeikh Mohamad Idris Abdul Rauf Al Marbawi

Matahari Terbit Dari Barat

عن أبي ذَرٍّ قَالَ : دَخَلْتُ المَسْجِدَ حِيْنَ غَابَتِ الشَّمْسُ وَالنَّبِيُّ صَلىَّ اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ، فَقَالَ : "يَا أبَا ذَرٍّ أَتَدْرِي أَيْنَ تَذهَبُ هَذِهِ؟ قَالَ : قُلْتُ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أعْلَمُ. قَالَ : فَإِنَّهَا تَذْهَبُ تَسْتَأذِنُ فىِ السُّجُودِ فَيُؤْذَنُ لهاَ وَكَأنّهَا قَدْ قِيْلَ لَهَا اطْلِعِى مِنْ حَيثُ جِئْتِ، فَتَطْلَع مِن مَغْرِبِهَا.

قَالَ: "ثُمَّ قَرَأَ ﴿ وَذَلِكَ مُستَقَرٌّ لهَاَ﴾. قَالَ : وَذَلِكَ قِرَأَةُ عَبْدِ الله بنْ مَسْعُود.
(حسن صحيح).

Terjemahan: Dari Abi Dzar katanya: Aku telah masuk ke masjid ketika waktu tenggelam matahari (senja) dan ketika itu Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam sedang duduk, maka baginda pun bersabda: “Wahai Abi Dzar, tahukah kamu kemana perginya (matahari) ini?” Katanya : Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Maka Sabda Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam : “Sesungguhnya ia pergi meminta izin kepada tuhannya untuk bersujud, maka Allah mengizinkannya. Dan sesungguhnya seolah-olahnya dikatakan kepadanya “Terbitlah kamu dari arah mana kamu datang”. Maka ia pun ia terbit dari sebelah baratnya. Ia berkata: Kemudian Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam membacakan (sepotong ayat) : (وَذَلِكَ مُسْتَقَرٌّ لَهَا)
(Dan demikianlah tempat tetap baginya).
Ia berkata demikianlah bacaan Abdullah Ibnu Mas’uud.

Keterangan.

1. Setiap hari matahari memohon kepada Allah agar dapat bersujud kepadaNya, dan Allah mengarahkan agar matahari tersebut pulang kembali ke timur hingga sampai kembali kepada baratnya. Lalu matahari memohon agar dapat bersujud lagi. Maka Allah mengizinkannya dan mengarahkan agar beredar ke timur. Demikianlah setiap hari sehingga kelihatan di bumi ini dipenuhi dengan kemaksiatan, serta mereka tidak mempedulikan ajaran dan nasihat. Atau sudah tiada lagi yang memberikan peringatan dan nasihat serta manusia sudah tidak mengambil berat lagi hukum-hukum Allah dan RasulNya lagi, Maka matahari memohon kepada Allah agar ia terus bersujud dan tidak kembali lagi ke dunia ini, maka Allah mengizinkan ia bersujud di bawah ‘Arasy selama beberapa malam.
2. Kata ‘Ulama: setelah matahari tetap bersujud kepada Allah selama 3 hari di bawah ‘Arasy, maka malam menjadi sangat panjang. Dan keadaan itu tidak disedari melainkan mereka yang bangun bertahajud di tengah malam serta mengamalkan zikir dan aurad (amalan-amalan zikir), serta mereka melaziminya setiap malam. Sehingga pada malam tersebut, mereka yang telah selesai menjalani ibadah malam mendapati bahawa fajar tetap tidak terbit. Lantas mereka kembali menyambung ibadah mereka dan setelah selesai seperti biasa mereka keluar melihat keadaan langit dan bintang dan keadaannya tetap sama. Lantas mereka yakin bahawa ini adalah alamat kiamat, maka mereka saling mengkhabarkan kepada sesama mereka sehingga semua manusia berkumpul di masjid menangis dan memohon pertolongan Allah.
3. Setelah cukup 3 hari itu maka matahari pun terbit, namun Allah mengarahkan agar ia terbit dari arah barat. Maka semua manusia mengetahui bahawa itu adalah alamat kiamat. Lantas menangislah semua ahli langit dan bumi. Dan ketika itu berseru suara dari langit “bukankah matahari itu terbit dari barat?” maka manusia seluruhnya menangis serta dengan rendah diri memandang ke langit. Mereka melihat cahaya matahari dan bulan sangat berbeza, tidak seperti biasa. Sesungguhnya tidak berguna lagi menangis pada hari tersebut.


Munculnya Yakjuj dan Makjuj.

عَنْ زَيْنَبَ بنْتِ جَحْشٍ قَالَتْ : اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَوْمٍِ مُحْمَرًّا وَجْهَهُ وَهُوَ يَقُولُ : لاَإِلهَ إِلاَّ الله، يُرَدِّدُهاَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَد اقْتَرَبَ، فُتِحَ اليَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأجُوجَ ومَأجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ، وَعَقَدَ عَشْراً قَالَتْ زَيْنَبُ: قُلْتُ يَا رَسُولَ الله

(أفَنَهْلِكُ وَفِيْنَا الصَّالِحَوْنَ؟ قَالَ : نَعَمْ إَذَا كَثُرَ الْخَبْثُ. (حسن صحيح
Terjemahan: Dari Zainab binti Jahash, Ia berkata : RasullulLah SallalLahu’Alaihiwasallam telah bangun dari tidur baginda dalam keadaan merah mukanya dan ia mengucapkan “Tiada tuhan selain Allah” dan diulangi sebanyak tiga kali seraya bersabda : “Celakalah bagi kaum arab daripada bala yang sangat hampir, pada hari ini sudah terbuka empangan yakjuj dan makjuj seperti ini. Dan Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam menunjukkan sepuluh jarinya. Zainab berkata; aku berkata wahai RasullulLah, adakah kita tetap akan binasa meskipun di sisi kita masih ada orang-orang soleh?. Jawab RasulluLlah SallalLahu’Alaihiwasallam : “Ya, bahkan sekiranya terlalu banyak kemaksiatan berlaku”.

Keterangan.
1. Yakjuj dan makjuj adalah merupakan dari kaum manusia jua, namun mereka sangat jahat. Dan sehingga kini tidak diketahui hakikat tempat persembunyiannya. Al Quran telah menjelaskan tentang kisah yakjuj dan makjuj di dalam surah Al Kahf yang mempunyai perkaitan dengan Raja Agung Iskandar Zulqornain. Ulama’ menyatakan bahawa Raja Iskandar tersebut merupakan seorang waliyulLah.
2. Kaum Yakjuj dan Makjuj ini tinggal di sebuah lembah antara dua gunung di kutub utara. Iskandar Zulkarnain pernah masuk ke tempat mereka dan didapati bahawa mereka itu pelbagai rupa, ada yang besar dan telinga besar. Mereka terlalu ramai seperti banyaknya semut yang melata di muka bumi. Lalu beliau keluar dan membina tembok yang diperbuat daripada tembaga dan besi serta batu bata. Setiap hari kaum tersebut menggali tembok tersebut sehingga sebesar lubang maka mereka pulang dan datang semula keesokannya untuk membesarkan lubang tersebut namun lubang itu tertutup semula. Begitulah setiap hari sehinggalah Allah membiarkan lubang tersebut digali untuk mereka keluar. Dengan penuh kerakusan mereka memakan apa sahaja di muka bumi ini apabila mereka keluar.
3. Bala Allah dan kebinasaan akan diturunkan kepada manusia meskipun terdapat orang-orang soleh. Mereka juga turut terkena bala tersebut. Ini adalah kerana kemaksiatan tersebut membuatkan doa para solehin tidak lagi dimakbulkan oleh Allah.


©’Umar Tayyib ad Darmani.

Tiada ulasan: